Isnin, 28 Februari 2011
Program Serlahan Seni JKKN 2011
“ Penawar rindu padamu seorang, Kenapa selalu semangatku dikau puja, Penawar rindu padamu seorang...”
Begitu gemersik dan nyamannya dendangan bekas Johan Bintang Asli Remaja 1996 Negeri Sarawak, Dayang Nurfaezah ketika membuat persembahan sempena Majlis Sidang Media Program Serlahan Seni JKKN 2011.
Tahun ini Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menawarkan 1 465 aktiviti seni dan budaya di seluruh Negara termasuk ‘Kem muzik tradisional antarabangsa Asean’ yang akan diadakan pada 14 hingga 17 Julai depan.
Ketua Pengarah JKKN, Dato’ Norliza Rofli berkata program-program ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan program jabatan itu tahun lepas dan selaras dengan saranan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan untuk mengeratkan jalinan mesra di bawah gagasan 1Malaysia.
"Tahun lepas seramai 1.5 juta orang terlibat dalam 1,928 program yang dianjurkan oleh JKKN di seluruh negara," katanya selepas melancarkan "Serlahan Seni 2011" bertempat di Bora Ombak, Ampang baru-baru ini.
Beliau berkata antara program tahun ini ialah Program Merakyatkan Seni dan Budaya(PMS), Program Bimbingan Seni Budaya(PBSB), Program Kecemerlangan Seni dan Manifestasi, Program Keilmuan, Kreatif & Penerbitan, Pencungkilan Bakat, Pembudayaan Bahasa Nilai Murni dan Budaya Membaca dan Program Kerjasama Seni.
JKKN turut menjadikan Malaysia sebagai tumpuan kunjungan pelancong tempatan mahupun luar negara melalaui penganjuran program-program Pusat Kegiatan Seni Berjadual, Produk Seni JKKN, Pembangunan Infrastruktur Seni Budaya, Perantisan dan Penyelidikan.
Bermula dengan program "Merakyatkan Seni: Inspirasi Kehidupan Nelayan" di Kuala Pahang, Pekan pada 9 Jan lepas, program tahun ini akan berakhir dengan program Semarak Bangsawan Opera di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur pada 23 Dis.
JKKN merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan media dan tetamu jemputan yang sudi hadir ke ‘Serlahan Seni 2011’. Mereka turut dihiburkan oleh penyanyi tempatan seperti Crystal Lee, Shruti, Abby & The brothers, Azmeera dan Dayang Nurfaezah.
Orang ramai boleh melayari laman web www.jkkn.gov.my untuk mengikuti program-program itu atau menjadi rangkaian SAHABAT BUDAYA Facebook di seluruh Negara dengan kata kunci ‘Sahabat Budaya’…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan