Jumaat, 18 Mac 2011
Semarak Bangsawan
Sejak bangsawan bertapak di Malaysia pada tahun 1880-an, bermulalah satu kegiatan teater yng kemudiannya menjadi sangat popular dan memonopoli kegiatan teater di Malaysia selama lebih 70 tahun. Bangsawan bermula di Pulau Pinang lalu berkembang ke seluruh Malaysia hingga ke Indonesia.
Asal mula bangsawan bukan dari Malaysia, tetapi dari perkuburan sebuah teater bergerak dari India. Dalam tahun 1870-an, Pulau Pinang telah menerima pengaruh sebuah pementasan teater bergerak bernama Wayang Parsi atau Mendu. Kumpulan ini melakonkan cerita-cerita dengan menggunakan Bahasa Hindi dan dilakonkan oleh pelakon lelaki dan wanita yang didatangkan dari India. Repertoire cerita berkenaan percintaan dan pengembaraan golongan ini dan dewa-dewa.
Wayang Parsi ini kemudian diambil alih oleh tuan dari kalangan Jawi Pekan tempatan bernama Mohamed Pusi pada tahun 1884 dan diberikan nama Wayang Bangsawan. Nama kumpulan bangsawan pertama ialah Pusi Indera Bangsawan of Penang yang bergiat pada tahun 1885 dan menggunakan bahasa Melayu. Kumpulan ini bergerak ke seluruh tanah air hingga ke Sumatera. Di Kuala Lumpur, tapak Sungei Wang Plaza dahulunya tempat bangsawan dipentaskan dan dikenali sebagai Happy World. Kumpulan-kumpulan yang telah bergiat cergas sejak kumpulan pertama terlalu banyak jumlahnya. Kumpulan yang lebih lama bergiat adalah seperti Nahar Bangsawan Malaysian Opera, Kinta Opera, Indera Bangsawan of Penang, City Opera, Peninsular Opera, Seri Permata Opera, Jaya Opera, Zanzibar Bangsawan, Dean Union Opera, Rose Opera, Gray Noran Opera, Indera Permata of Selangor, Constantinople Opera, Rahman Opera, Kencana Wati Opera, Bangsawan Jenaka Melayu dan Bolera Opera.
Kini dalam usaha mempopularkan kembali persembahan bangsawan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, melaksanakan program Semarak Bangsawan. Setiap hujung minggu kedua dari bulan Februari hingga Disember, diadakan persembahan bangsawan. Semoga bangsawan terus berkembang dan diminati masyarakat Malaysia.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan