Jumaat, 16 Mac 2012

Naskhah Bangsawan "Paduka Menteri" Beri Pengajaran

Bangsawan paduka Menteri merupakan salah satu dari pementasan di bawah siri Semarak Bangsawan 2012.

Pementasan ini telah diadakan pada 13 Mac 2012 hingga 15 Mac 2012 di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur, bangsawan Paduka Menteri mengisahkan tentang kisah hidup tokoh usahawan bijih timah melayu terulung Ngah Ibrahim Bin Long Jaafar (1840-1895) bergelar Orang Kaya Menteri Paduka Tuan.

 Bermula dengan kemangkatan Sultan Ali, di mana penggantinya Raja Abdullah gagal datang. Bagi memakamkan jenazah almarhum, Bendahara Raja Ismail telah dipilih menaiki takhta. Raja Abdullah yang kecewa telah menuduh Ngah Ibrahim sebagai punca beliau telah disingkirkan. Raja Abdullah telah merampas daerah Kerian yang dikuasai oleh Ngah Ibrahim untuk dipajakkan kepada Inggeris. Perebutan lombong bijih timah antara kumpulan Gee Hin dan Hai San yang melibatkan pergaduhan pula sering berlaku.

Dalam pergaduhan yang berlaku, puak Hai San telah memohon bantuan daripada Ngah Ibrahim, manakala puak Gee Hin pula mendapat sokongan daripada Raja Abdullah. Rumah Ngah Ibrahim telah diserang dan dirampas oleh puak Gee Hin. Akhirnya Ngah Ibrahim yang melarikan diri telah memohon bantuan daripada Kapten Speedy. Hasil bantuan Kapten Speedy, puak Gee Hin telah ditewaskan dan rumah Ngah Ibrahim telah diperolehi kembali.

Mengenengahkan kisah sejarah, bangsawan Paduka Menteri adalah hasil adaptasi daripada novel Tengku Menteri karya Prof. Dr. A. Talib Samat. Bangsawan Paduka Menteri  amat sesuai dipersembahkan bagi tontonan generasi muda pada masa kini.




Selain daripada memperolehi manfaat dari sudut sejarah, ia juga mampu memberi pengajaran kepada generasi muda tentang sikap masyarakat yang tamak dan haloba akan membawa kepada kemusnahan.

Tiada ulasan:

 

...:::BLOG RASMI JABATAN KEBUDAYAAN DAN KESENIAN NEGARA:::.. Hakcipta Terpelihara © 2011 JKKN