Bangsawan “Badang” telah dipentaskan pada 11 Mei 2012 sehingga 13 Mei
2012, menyaksikan kemeriahan pementasan teater bangsawan sekali lagi
bergema. Bertempat di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur teater bangsawan
ini dianjurkan secara bersama oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian
Negara (JKKN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama
Persatuan Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Mengisahkan mengenai Badang yang semakin tamak dengan kekuatan yang
dimilikinya, lalu berjumpa dengan Raja Jin meminta khasiat muntah untuk
menjadikan dirinya kuat dan kebal. Belum sempat Raja Jin memberikan
pantang larang, Badang telah berlalu pergi. Dengan kekuatan yang
dimiliki Badang telah diangkat menjadi Datuk Laksamana Badang kerana
telah membantu mengalihkan batu besar yang menghalang pemandangan
istana.
Sejak bergelar Datuk Laksamana, Badang telah mengkucar-kacirkan
keadaan negeri Langka Puri. Badang juga cuba untuk merampas tunangan
Tengku Muda Alam Perkasa iaitu Puteri Seri Nilam Cahaya. Akibat terlalu
marah dengan kesombongan Badang, Tengku Muda Alam Perkasa telah mengajak
Badang untuk beradu tenaga dengan mempertaruhkan tunangannya. Sebagi
persediaan untuk pertarungan tersebut, Tengku Muda Alam Perkasa mula
menyelidiki bagaimana Badang boleh menjadi kuat dengan mengekori
pergerakannya. Diakhirnya beliau telah berjaya mendapatkan kelemahan
Badang dengan bertanyakan kepada Raja Jin yang telah berjumpa dengan
Badang.
Setelah sampai masa pertarungan di antara Datuk Laksamana Badang
dan Tengku Muda Alam Perkasa telah diadakan dan Datuk Laksamana Badang
telah berjaya ditewaskan dengan menggunakan sejenis kayu ditikam
dilengan Datuk Laksamana Badang.
Bangsawan Badang merupakan sebuah kisah yang dapat memberikan pengajaran buat penonton. Apa yang dapat diperkatakan adalah sifat sombong dan angkuh dengan apa yang ada sememangnya tidak akan kekal lama. Semua yang ada pada manusia hanyalah pinjaman sementara sahaja.
Begitulah yang dialami oleh Badang seorang
pemuda kampung yang hanya bekerja di hutan telah menyalahgunakan
keistimewaan yang diperolehinya. Pementasan selama tiga hari ini turut
dihadiri oleh beberapa orang tetamu jemputan dan juga wakil-wakil badan
bukan kerajaan seni budaya.
Antaranya adalah Tuan Haji Mesran Mohd
Yusop, Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, YBhg
Prof. Dr. Hatta Azad Khan, Rektor Aswara, Puan Rosminah Tahir dan
lain-lain lagi.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan