Rabu, 18 Mei 2011

Festival Boria 1Malaysia

Persembahan Boria Pulau Pinang adalah satu kesenian negeri turun temurun yang telah diamalkan sejak zaman berzaman oleh masyarakat Melayu Pulau Pinang. Kini, persembahan kumpulan Boria Pulau Pinang telah mengalami evolusi mengikut peredaran zaman dan masih terus dipersembahkan di khalayak ramai melalui majlis dan keramaian tertentu. Usaha pemuliharaan dan pengekalan telah dilakukan oleh pihak berwajib untuk terus meneruskan kegemilangan persembahan Boria Pulau Pinang. Di atas rasa tanggungjawab dan kesedaran tentang peri pentingnya pemeliharaan seni boria ini, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia secara bersama dengan Kementerian Pelancongan melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang dan Pejabat Pelancongan Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan Festival Boria 1Malaysia 2011.

Sekitar acara saringan yang diadakan pada 26 hingga 29 April 2011

Festival ini yang berlangsung pada 27 April 2011 hingga 1 Mei 2011 ini telah berjaya menghimpunkan para penggiat boria dari seluruh Pulau Pinang di atas satu padang di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Majlis pelancaran telah diadakan pada 30 April 2011 jam 8.30 malam. Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan. Antara tetamu kehormat yang hadir adalah YBhg Datin Seri Masnah Rais, YB Tan Sri Dato’ Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan isteri, YBhg Dr. Junaida Lee Abdullah, TKSU Kementerian Pelancongan, mewakili Kementerian Pelancongan, YBhg Tan Sri Khalid Ramli, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Seri Dr. Hilmi Yahya, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Teluk Bahang dan lain-lain lagi.








Secara keseluruhannya, festival ini yang dilangsungkan dalam suasana yang penuh muhibah telah mencatatkan sejarah yang tersendiri iaitu melalui catatan di dalam Malaysia Book of Records “Sailor Boria Teramai” yang telah disertai oleh 2,811 orang yang terdiri dari masyarakat berbilang kaum di Pulau Pinang. Purata keseluruhan kehadiran khalayak sepanjang program berlangsung dianggarkan seramai 15,000 orang. Diharapkan festival ini akan diteruskan lagi di masa-masa akan datang.

YB Menteri KPKK sedang menandatangani Sijil The Book of Records "Sailor Boria Teramai" yang mencatatkan penyertaan seramai 2,811 orang


Wakil The Malaysia Book of Records En Zuhairi Md Zin menyerahkan sijil The Book of Records kepada YB Menteri KPKK

Tiada ulasan:

 

...:::BLOG RASMI JABATAN KEBUDAYAAN DAN KESENIAN NEGARA:::.. Hakcipta Terpelihara © 2011 JKKN