Rabu, 25 Mei 2011

Kembara Berakit Antarabangsa Sungai Pahang 2011 : "Budaya...Alam...Pengembaraan"

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia ( KPKK ) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia (KPM) dan Kerajaan Negeri Pahang telah Berjaya menganjurkan Program Kembara Berakit Sungai Pahang 2011 pada 8 hingga 13 Mei 2011. Acara tersebut telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Pahang pada 13 Mei 2011 bertempat di Jeti Kuala Lipis, Pahang dan diakhiri dengan Majlis Penutupan oleh YB Senator Datuk Maglin Dennis D’ Cruz, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan pada 13 Mei 2011 bertempat di Kampung Kuala Triang, Bera, Pahang.
Sepanjang 188 km perjalanan menyusuri sungai Pahang telah berjaya diharungi oleh peserta rakit yang terdiri daripada pelbagai sektor awam dan swasta. Bermula di Jeti Kuala Lipis, (Daerah Lipis) peserta berakit menyusuri sungai Pahang dan akan membuat persinggahan di beberapa tempat seperti di Kampung Jeram Landak (Daerah Lipis), Kampung Pedah (Daerah Jerantut), Kuala Krau (Daerah Temerloh), Kampung Sanggang (Daerah Temerloh) dan berakhir di Kampung Kuala Triang (Daerah Bera).

Program Merakyatkan Seni (PMS) Luar Bandar telah diadakan disetiap perhentian dan persinggahan mereka. Antara program yang telah diadakan adalah seperti kenduri rakyat, permainan tradisional, pertandingan mewarna, pengcukilan bakat baru, membuat mural di dinding Sekolah dan sebagainya.
Program Kembara Berakit Antarabangsa Sungai Pahang 2011 ini merupakan satu pendekatan yang bagus untuk member pendedahan kepada masyarakat kampung di daerah-daerah hentian tersebut. Dengan adanya program seumpama ini, maka para pemimpin tempatan akan turun padang malah dapat mendekatkan diri bersama rakyat sambil dapat mengetahui permasalahan rakyat di kawasan tersebut.

Tiada ulasan:

 

...:::BLOG RASMI JABATAN KEBUDAYAAN DAN KESENIAN NEGARA:::.. Hakcipta Terpelihara © 2011 JKKN