Selasa, 10 Mei 2011
Festival Seni Gunung Ledang
Negeri Johor mempunyai gunung yang terkenal yang terletak di utara Johor dan bersempadan dengan Negeri Melaka Bersejarah. Dikenali dengan sebutan Gunung Ledang dan mempunyai banyak cerita-cerita lagenda yang dikaitkan dengan kemashyuran Kesultanan Melayu Melaka bila mana Sultan Melaka bermimpi dan berhajat bagi memperisterikan Puteri Gunung Ledang.
Lagenda Puteri Gunung Ledang yang menjelma menjadi Nenek Kebayan, kisah rombongan DiRaja Melaka meminang Puteri Gunung Ledang yang di ketuai oleh anakandanya Tun Mamat dan Laksamana Hang Tuah, juga dikaitkan dengan tempat perguruan dan pertapaan para Mahaguru dan Pahlawan masa dahulu kala.
Disamping itu Gunung Ledang juga telah menjadi terkenal dan merupakan satu daripada destinasi pelancongan yang menarik kerana keadaan flora dan faunanya disamping air terjun dan hutan daranya yang kini diwartakan di dalam kawasan Taman Negara, di Johor.
Bagaimanapun yang menariknya nostalgia lagenda itu dapat kita garapkan menjadi sebuah sejarah dan paparan yang boleh menarik perhatian generasi kini dan juga para pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke tapak sebenar lagenda tersebut bagi menghayati disamping merasai kembali suasana dan nostalgia lagenda tersebut dengan paparan secara persembahan yang dikoreografikan mengikut susurgalur yang diceritakan. Acara ini akan dijadikan acara tahunan bermula 2011 dan seterusnya.
Misteri Lagenda Puteri Gunung Ledang bakal dirungkai pada 13-15 Mei ini bertempat di Dataran Gunung Ledang Resort, Ledang, Tangkak Johor.Festival Seni Gunung Ledang yang julung kali diadakan diharap akan menjadi satu festival yang meninggalkan kesan kepada para penggiat seni disamping sebagai memori sebuah lagenda yang dapat dinikmati semua golongan dan lapisan masyarakat dan sebagai daya tarikan pelancong tempatan, dalam negeri mahupun pelancong luar Negara disamping menikmati keindahan sekeliling alam semula jadi dan secara langsung memperkenalkan lagi Daerah Ledang yang baharu sahaja diisytiharkan sebagai sebuah daerah baharu di Negeri Johor.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan